دعا مودهكن رزقى/ ككاياءن

وبارك لنا اللهم في جمع كسبنا وحل عقودالعسر يا يوه ارمخت

اللهم ربنا انزل علينا مائدة من السماء تكون لناعدا لاولنا واخرنا واية منك وازقنا وانت خيرالرازقين

اللهم ان كان رزقنا فى السماء فانزله وان كان رزقنا فى الارض فاخرجه وان كان رزقنا فى الماء والبحر فاطلعه

وان كان رزقنا قليلا فاكثره وان كان رزقنا بعيدا فقربه وان كان رزقنا عاسرا فيسرلنا

ولتنقلنا اليه حيث ماكان بفضلك وجودك وكرمك برحمتك ياارحم الراحمين .

Wahai Tuhan Kami, turunkanlah kepada kami rezqi dari langit untuk kami lazimkan bagi awal hidup kami dan akhir hidup kami dari ayat ayatMu dan berilah kami rezqi dan hanyalah Dikau sebaik baik Pemberi Rezqi

Ya Allah, apabila rezqi kami di langit, maka turunkanlah, dan apabila rezqi kami dari dalam bumi, maka keluarkanlah, dan apabila rezqi kami di dalam air dan di laut maka angkatkanlah, dan apabila rezqi kami itu jauh, maka dekatkanlah. Apabila rezqi kami sedikit maka perbanyakkanlah. Apabila rezqi kami sukar, maka permudahkanlah.




Monday, March 19, 2012

POLIGAMI ADALAH HUKUM ALLAH





Poligami adalah peruntukan yang diberikan oleh syarak kepada lelaki. Dengan peruntukan tersebut lelaki boleh mengahwini wanita lebih daripada seorang dan tidak melebihi empat orang. Ianya bukan satu kewajipan,tetapi satu keizinan.

Menjadi kewajipan bagi setiap muslim beriktikad bahawa hukum-hakam syarak yang diturunkan Allah S.W.T bukan untuk kepentingan zatNya yang agung, kerana Dia Maha Suci daripada bergantung kepada makhluk.Segala apa yang diturunkanNya adalah li maslahah al-`Ibad iaitu untuk kemaslahatan atau kepentingan hamba-hambaNya. Malangnya pada mutakhir iniwajah serangan terhadap Islam dan peraturannya bertopengkan agama untuk menghancurkan agama.
Inilah hasil kelompok yang ingin memahami Islam daripada golongan orientalis dan musuh-musuhnya, malangnya mereka tidak dapat memahami Islam daripada karya-karya asli para ulama Islam.

Kata al-Imam `Izz al-Din `Abd al-Salam (meninggal 660H): dalam Qawa`id al-Ahkam fi Masalih al-Anam: “Kita telah ketahui daripada sumber-sumber syarak bahawa tujuan (hukum-hakam) syarak ialah untuk kemaslahatan hamba-hambaNya di sudut agama dan akhirat mereka. Bukannya masaqqah (kesusahan dalam mengamalkan syariat) itu yang dimaksudkan dengan kemaslahatan, tetapi maksudnya ialah apa yang
diperolehi hasil dari masaqqah tersebut. Ini sama seperti seseorang doktor yang menyuruh pesakitnya meminum ubat yang sangat pahit. Tujuannya hanyalah untuk mengubati”.
(1/29, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).

Namun golongan yang tidak faham atau yang ingin mencari kesalahan untuk ditempelkan kepada agama sengaja melihat dari mata musuhnya. Hasrat mereka untuk menonjolkan kehebatan pemikiran Dunia Barat dan meperlekehkan Islam. Dalam masyarakat yang umatnya berpegang kepada Islam, golongan ini cuba memutarbelitkan nas-nas agama untuk kepentingan pemikiran Barat. Mereka mengambil kesempatan dari kesalahan sikap sebahagian pengamal poligami untuk memukul sistem tersebut. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Markaz al-Mar’ah fi al-Hayat al-Islamiyyah: [/b]“Sesuatu yang amat mendukacitakan apabila sebahagian daripada penyeru-penyeru kepada sistem Barat yang ada di tanahair
Arab dan umat Islam mengambil kesempatan apa yang berlaku pada sesetengah muslimin yang menyeleweng. Lalu mereka ini bangkit menyuarakan agar ditutup pintu poligami sama sekali. Mereka ini pagi dan petangnya hanya membicarakan mengenai keburukan poligami. Padahal dalam masa yang sama mereka mendiamkan diri seperti diamnya orang di dalam kubur mengenai keburukan zina, yang dengan
dukacitanya diharuskan oleh sistem perundangan manusia yang menghukum negara-negara umat Islam hari ini.”[/b](m.s 31 cetakan Maktabah Wahbah, Mesir).

Inilah hakikat yang berlaku pada hari ini, di mana berlakunya perzinaan yang berleluasa yang membabit sebahagiannya lelaki yang mempunyai isteri yang memangsa wanita yang bersedia dimangsa dirinya, yang keburukannya akan menimpa isterinya yang sah dan keluarga. Begitu juga hubungan seks yang begitu yang bebas yang dicerminkan oleh masyarakat yang sedang parah, di samping adanya media massa yang bersedia menjadikan kisah-kisah tersebut sebagai bahan paparan yang menguntungkan. Malangnya golongan ini hanya diam, tiada isu yang hendak dimainkan mereka. Namun jika mereka melihat adanya peluang yang membolehkan mereka memukul agama dengan senjata yang meracun akidah maka mereka jadikan ianya perbahasan yang boleh membantu mereka menimbul keraguan golongan awam yang tidak faham terhadap Islam.

Katanya Dr. Yusuf al-Qaradawi lagi “Adapun pendapat yang menyatakan bahawa berpoligami membawa keburukan kepada keluarga dan masyarakat ianya adalah pendapat yang mengandungi kekeliruan yang nyata. Kita katakan kepada merekayang keliru ini: Sesungguhnya syariat Islam tidak mungkin menghalalkan untuk manusia sesuatu yang memudaratkan mereka, seperti mana ianya tidak mungkin mengharamkan manusia sesuatu yang memberi manfaat kepada mereka. Bahkan telah dipastikan menerusi nas (al-Quran dan al-Sunnah) dan kajianbahawa syariat Islam tidak menghalalkan melainkan perkara yang baik lagi manfaat. Juga ianya tidak mengharamkan melainkan yang keji lagi mudarat. Inilah yang digambarkan oleh
al-Quran dengan ungkapan yang indah lagi padat ketika menyifatkan Rasulullah S.A.W, seperti yang dikhabarkan oleh buku ahli kitab, iaitu: (maksudnya) ” (sifat-sifatnya di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka) Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka
beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka.”
(Surah al-`Araf :157).

Sambung al-Qaradawi: “Inilah apa yang diraikan oleh Syariat Islam dalam persoalan poligami, ianya telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudianya ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah. Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya):
“Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri. (m.s 133-134)

Persoalan seperti poligami ini sebenar tidak boleh dibincangkan dengan nada emosi kewanitaan yang tidak terbimbing semata, atau pandangan sekumpulan lelaki yang takutkan isteri mereka. Hukum-hakam syarak memenuhi tuntutan akal yang waras dan logik yang kukuh sekalipun mungkin emosi membantahnya.
Jika kita melihat kepada seseorang doktor yang menyuntik seorang bayi dengan jarumnya sehingga menyebabkan bayi tersebut menangis, andainya fikiran kita tidak dipenuhi pengetahuan tentang kebaikan tindakan doctor tersebut, kita tentu akan membantah dan menganggap doktor seorang yang zalim,
menginayai bayi tersebut sehingga dia kesakiatan dan menangis. Namun apabila pengetahuan kita cukup kita tidak lagi melihat kepada tangisan bayi tetapi kepada kebaikan yang akan diperolehinya. Demikian juga poligami. Sesiapa yang ingin melihat keindahan hikmah poligami maka baca karya
Dr. Mustafa al-Siba`I r.h, iaitu Al-Marah: Bain al-Fiqh wa Al-Qanun.

Sebenarnya bukanlah Islam sahaja yang memulakan keizinan berpoligami. Agama-agama lagi juga telah mengizinkannya. Bahkan pihak gereja seperti yang dinyatakan oleh Waster Mark, telah mengiktiraf poligami sehingga ke kurun yang ke tujuh belas, di mana perlaksanaanya ketika itu begitu meluas.

Kata Dr Zaki Abdul Karim Naik dalam bukunya Most Common Questions About Islam:
Tiada dalam mana-mana buku agama (selain Islam) samada Vedas, Ramayanan, Mahabharat, Geetha, Talmud dan Bible had bilangan isteri. Berdasarkan buku-buku tersebut seseorang boleh mengahwini sebanyak mana yang dia suka. Katanya juga: Pada peringkat awal, seseorang lelaki Kristian diizinkan berkahwin sebanyak mana bilangan isteri yang dia suka, kerana Bible tidak menghadkan bilangan isteri.
Hanya beberapa kurun kebalakangan ini gereja menghadkan bilangan isteri hanya satu. Poligami juga diizinkan dalam Yahudi. Ini berdasarkan undang-undang Talmud., di mana Nabi Ibrahim isterinya tiga, Nabi Sulaiman isterinya seratus. Perlaksanaan poligami berterusan dalam Yahudi sehinggalah Rabai Gersom Ben Yehudah (960-1030M) mengeluarkan perintah menentangnya. Namun masyarakat Yahudi Sephardic yang hidup di kalangan umat Islam terus mengamalkannya sehingga tahun 1950..(m.s.3 , published by Saba Islamic Media)

Bezanya Islam apabila mengizinkannya menyertainya dengan peraturan dan disiplin yang mesti dipatuhi. Jika disiplin itu tidak dipatuhi hanya diizinkan satu. Maka Al-Quran satu-satu kitab agama di atas muka bumi ini yang menentu satu isteri bagi yang tidak dapat berlaku adil.Ini sama seperti semua perkara di dalam Islam ada peraturannya. Sehingga yang berkahwin seorang (monogami) juga ada disiplin dan
peraturan yang mesti diikuti. Persoalan keadilan untuk isteri, bukan sahaja bagi yang berpoligami, yang bermonogami juga mesti adil terhadap isterinya yang seorang tersebut, cumanya konteks pengendaliannya
sahaja yang berbeza. Bahkan setiap bapa yang memiliki lebih dari seorang anak juga mesti adil terhadap anak-anaknya.

Dalam banyak kes kecuaian dan kezaliman rumah tangga tidak berfaktor pologami. Bahkan ianya berfaktorkan sikap suami itu sendiri, atau hubungannya dengan wanita luar tanpa keizinan syarak, atau tekanan-tekanan luar. Malangnya hal ini tidal difahami dengan baik oleh sesetengah pengulas poligami.
Apatah lagi sebahagian pengulas tersebut adalah wanita yang tidak memiliki rumah tangga. Kata Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Bukanlah poligami yang menyebabkan anak-anak terbiar seperti yang didakwa mereka. Sebaliknya berpunca dari pengabaian bapa terhadap pendidikan anak-anak, mabuk arak, ketagihan dadah,
tenggelam dalam nafsu, berjudi, berulang-alik ke kedai kopi, pengabaian keluarga dan lain-lain”.
(Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 7/173, cetakan Dar al-Fikr, Beirut)

Islam tidak memaksa lelaki berpoligami, tetapi mengizinkannya sebagai keharusan yang dapat menyelesaikan banyak masalah. Namun pemikiran barat telah menghantui sebahagian pengulas poligami ini. Apabila ada kes ketidakadilan yang dilakukan oleh sebahagian pengamal poligami maka
system itu disalahkan. Adalah tidak pelik untuk mereka ini mengikut jejak langkah barat suatu hari nanti mengizinkan hubungan tanpa nikah atas alasan perkahwinan mengongkong wanita dan menzalimi mereka.
Bila mereka melihat ada suami yang tidak adil maka perkahwinan akan dianggap menginayai wanita dan patut dicegah.

Allah SWT mengizinkan poligami dengan nas al-Quran dan praktikalnya oleh Nabi S.A.W dan para sahabah. Malangnya di kebelakangan ini ada kecenderungan golongan yang mendakwa muslim meminggirkan al-Sunnah dan ingin hanya berhujah dengan al-Quran dengan tafsiran secara ‘sendiri berhad’ tanpa melihat apa yang menjadi tuntutan untuk seseorang menafsirkan kitab Allah. Sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta,
dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh.
Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).”Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui
oleh Al-Zahabi. Demikian juga Ibn Hajar al-`Asqalani menyebut di dalam Fath al-Bari :sanadnya baik.

 ***lihat tulisan Ustaz Mohd Asri “Bahaya Golongan al-Riwaibidoh”.klik di  : http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=ust_asri&Number=11611&page=0&view=collapsed&sb=5&o=&fpart=1

Ada di kalangan yang menentang poligami ini cuba menyalah tafsirkan ayat Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 129: (maksudnya) Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu
bersungguh-sungguh (hendak melakukannya).

Kata mereka ayat ini membatalkan apa yang disebut dalam ayat 30 dalam surah yang sama : (maksudnya): “Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri”.

Sebenarnya dakwaan mereka secara tidak langsung adalah tohmahan terhadap Nabi S.A.W., para sahabah dan generasi para ulama Islam sejak dahulu seakan-akan mereka semua tidak memahami al-Quran sehingga mengharuskan poligami untuk diri mereka dan umat.

Ayat 129 Surah al-Nisa’ itu sebenarnya membicarakan tentang keadilan mutlak yang tidak mungkin dapat diberikan oleh insan. Keadilan mutlak membabitkan semua aspek; perasaan kasih sayang yang ada di dalam hati, cara hubungan seksdan segalanya. Ini semua bukan dalam batas kemampuan insan. Sehinggakan insan
tidak mampu menjadikan kadar kasih sayangnya terhadap anak-anaknya sama, demikian jugalah terhadap isteri-isterinya. Bagi anak yang lebih manja dan pandai mengambil hatinya tentu perasaan cintanya lebih. Demikian juga isteri. Namun apa yang dituntut ialah agar persoalan akhlak pergaulan dan sikap, persoalan kebendaan hendaklah dalam timbangan keadilan dan kesaksamaan kerana itu dalam batas kemampuan insan. Tidak boleh dijadi perasaan cinta di dalam hati membawa kepada ketidakadilan dalam tindakan. Oleh itu sambungan ayat itu menyebut: (maksudnya) oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau
(berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Baginda S.A.W menyebut dalam hadith: Daripada `Aisyah R.A: Bahawa Nabi S.A.W membahagikan hak di antara isteri baginda dengan adil. Baginda bersabda: Ya Allah inilah pembahagianku apa yang miliki, jangan Engkau salahku dalam apa yang aku tidak miliki.
(Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Hakim (meninggal 405H)
mensahihkannya dalam Al-Mustadrak 2/554, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut dan
disetujui oleh al-Zahabi (meninggal 748H).

Kata Abu Daud ketika meriwayat hadith ini maksud apa yang aku tidak miliki ialah hati, iaitu cinta yang lebih dan kecenderungan hati. (lihat Al-`Azim al-Abadi, `Aun al-Ma’bud, 6/121, cetakan Dar al-Kutub al-
`Ilmiyyah, Beirut).

Maka kecenderungan hati yang menyebabkan tidak sama dalam kasih sayang tidak dianggap salah di sisi Allah selagi mana tidak berlakunya ketidak adilan dalam tindakan. Inilah maksudnya ayat tersebut. Malangnya mereka ini hanya ingin menjadikan agama menurut fikiran mereka lalu mereka tidak merujuk apa
yang ditafsirkan oleh para muhaddithin (ulama hadith), mufassirin (ulama tafsir) yang muktabar. Antaranya apa yang disebut oleh al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) dalam tafsirnya Al-Jami li Ahkam al-Quran: “Dalam ayat tersebut Allah memberitahu ketidakmampuan melakukan keadilan di antara isteri dalam kecenderungan tabii seperti cinta dan hubungan seks dan perasaan dalam hati. Maka Allah mensifatkan
hal manusia bahawa mereka dengan sifat semulajadinya tidak dapat mengawal kecenderungan hati mereka kepada sesuatu perkara atau sebaliknya…kemudian Allah melarang manusia dengan firmanNya: (maksudnya)“janganlah kamu cenderung dengan melampau” yakni jangan kamu sengaja menyakiti,
sebaliknya hendak sama rata dalam pembagian dan nafkah, kerana ini perkara yang seseorang mampu melakukannya.” (5/407, cetakan Dar al-Fikr, Beirut)

Demikian jika mereka merujuk kepada tafsir muktabar yang lain yang menjadikan panduan tafsiran mereka al-Quran itu sendiri, sunnah Nabi dan perjalanan para salaf soleh (generasi awal Islam yang beriltizam). Kata al-Syeikh `Abd Allah Nasih `Ulwan r.h: Musuh-musuh Islam daripada kalangan atheis dan orientalis
cuba menentang peraturan Islam dengan menimbulkan tohmahan-tohmahan palsu, keraguan-keraguan dan serangan-serangan yang hasad terhadap Islam demi menimbulkan syak orang ramai terhadap kebaikan peraturan Islam, kesesuaiannyasepanjang zaman dan masa. Maka ada orang Islam yang menyambut pandangan-pandangan mereka serta beriman dengan akidah dan pemikiran mereka dan jatuh ke dalam
perangkap syak dan tohmahan mereka. Di antara tohmahan dan serangan yang mereka timbulkan ialah keharusan Islam bagi peraturan poligami. (`Abd Allah Nasih `Ulwan, Ta`addud al-Zaujat fi Islam, m.s: 9, Dar al-Salam, Kaherah)

Adapun pandangan yang mensyaratkan keizinan isteri pertama atau kadi atau mahkamah syariah bagi sesiapa yang ingin berpoligami adalah sesuatu yang ditolak. Para ulama kontemporari telah menjelaskan alasan penolakan ini dalam tulisan-tulisan mereka. Masalah keadilan suami adalah sesuatu yang tidak dapat
dinilai sebelum perkahwinan berlaku. Bagaimanakah mungkin seseorang kadi atau sesuatu pihak dapat mendakwa bahawa si pulan jika beristeri dua tidak akan adil? Bagaimana pula seseorang dapat memutuskan si pulan yang lain jika beristeri dua adil? Bahkan ada orang yang disangka adil tetapi ternyata sebaliknya.
Ada yang dianggap pendapatannya kurang tapi bila berkahwin dua, pendapatannya bertambah.

Sikap adil atau bertanggungjawab terhadap isteri bukan hanya kepada yang beristeri lebih daripada satu tetapi juga kepada yang beristeri satu. Kalau hak ini diberikankepada kadi maka nanti yang ingin berkahwin satu juga akan dinilai oleh kadi sama dia boleh bertanggungjawab atau tidak. Kemudian nanti yang ingin menambah anak atau memperolehi anak juga akan dinilai dia mampu atau tidak? Apakah kita lupa,
ramai yang sikapnya berubah menjadi lebih cemerlang selepas perkahwinan, atau rezeki semakin bertambah selepas bertambah bilangan anak.

Sebab itulah Perhimpunan Kajian Islam (Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah) pada muktamarnya yang kedua di Kaherah tahun 1975 membuat keputusan seperti berikut: “Adapun berhubung dengan poligami, maka pihak muktamar memutuskan bahawa ianya adalah harus dengan jelasnya berdasarkan nas-nas al-Quran al-Karim juga dengan syarat-syarat yang berkaitan dengannya. Adapun penggunaan hak ini adalah terpulang kepada pihak suami, ianya tidak memerlukan keizinan kadi”.

Dr. Abd al-Karim Zaidan menyebut di dalam bukunya Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah:
“Aku melihat tidak harus dari segi syarak memberikan kelayakan berpoligami ditentukan kadi, atau mengaitkan keharusan berpoligami dengan izin kadi.” Kata beliau juga: “Antara bukti yang menyokong keputusan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah di atas ialah tidak pernah disebutkan kepada kita pada mana-mana zaman Islam, sejak Rasulullah S.A.W sehingga ke zaman selepasnya bahawa sesiapa daripada kalangan fuqaha (ulama feqah) mensyaratkan keizinan kadi untuk sesiapa yang ingin berpoligami. Kalaulah syarat ini disyariatkan maka sudah tentu kitab-kitab fekah dan kehakiman (qadha`) menyebut berlakunya atau cadangan mengenainya. Apabila ianya tidak menyebut hal ini sedikit pun, maka inilah dalil yang putus terhadap ijma’ sukuti (ijmak secara diam) mengenai tidak dikaitkan keharusan berpoligami dengan keizinan kadi. Maka cadangan untuk itusekarang ini adalah memecahkan ijmak. (`Abd al-Karim Zaidan, Al-Mufassal fiAhkam al-Marah, 6/294, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut)

Juga Dr Wahbah al-Zuhaili membantah pandangan ini dengan memberikan beberapa hujahnya di dalam al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh. Sila yang ingin pendetilan rujuk di bawah tajuk al-Dakwah ila Ja’l ta`addud al-Zaujat bi Izn al-Qadi. Antara tokoh lain ialah Dr.Muhammad `Uqlah dalam bukunya Nizam al-Usrah fi
Al-Islam yang menganggap syarat keizinan kadi sebagai pemikiran yang bid`ah dan boleh membawa kepada hubungan zina. (m.s: 324, cetakan Maktabah al-Rasalah al-Hadithah, Jordan).

Sesungguhnya Islam boleh diumpamakan sebuah kedai yang menyediakan berbagai jenis ubat untuk semua jenis penyakit. Jangan kerana ada ubat yang dijual itu tidak bersesuaian dengan penyakit kita maka kita menganggap ubat tersebut mestidihapuskan. Poligami adalah salah satu ubat bagi penyakit yang bersesuaiandengannya. Menghalang zina dan membantu wanita. Bagi yang tidak memerlukan ubat
ini dia tidak disuruh meminumnya.

Janganlah kerana sikap atau penyakit seseorang yang teracun dengan racun Barat lalu dia ingin membakar kedai ubat yang menjual poligami. Bagi racun yang dimakan itu ubatnya adalah memahami akidah dan takutkan hukum-hakam Allah. Kembali kepada Islam, membacanya bahan tanpa prajudis dan kebencian. Baiki akidah dan kepercayaan terhadap al-Din ini.

Oleh : DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
(pensyarah Bahagian Pengajian Islam Universiti
Sains Malaysia (USM))

No comments:

Post a Comment

My Blog List